Orang kata, kalau ikut Islam boleh tenang, bahagia. Dan kita, hari-hari  bersembahyang.  Namun ketenangan dan kebahagiaan yang dicari-cari, tetap  tak kunjung tiba. Mengapa?? 
Kiranya bahagia itu tidak dapat diukur dengan mata kasar, kerana  pandangan mata selalunya menipu. Masakan melihat seorang wanita dengan  lengan yang bersusun dengan gelang permata kita sudah boleh mengatakan  dia bahagia...
Namun..... bahagia dapat dirasa di hati, boleh dikesan pada wajah.  Sebaliknya jika tiada, hati boleh merasa dan tak mungkin ditipunya.  Kadang-kadang, pada lahirnya sesebuah keluarga itu sudah nampak aman  damai. Namun, hakikatnya hati para penghuninya masih tak bahagia.  Mengapa? Rasa-rasa masih ada lagi yang kurang... 
Ketenangan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa.
Mereka yang mendapat ketenangan seperti mendapat syurga yang disegerakan   (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di  akhirat. Mereka yang telah menikmatinya tidak akan terpengaruh dengan  suasana untuk mendapat tenang dan bahagia. 
Justeru setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini, bukan untuk  mengejar bahagia. Tapi atas rasa dirinya sebagai hamba yang perlu  mentaati perintah dan menjauhi larangan Tuhan, demi mendapatkan  keredhaanNYA. Dalam berseorangan pun mereka rasa bahagia, apatah lagi  ketika ramai. Sewaktu susah dan kesempitan pun mereka rasa bahagia,  apalagi di kala senang dan lapang. Keredhaan Allah cukup besar maknanya  bagi mereka.
Namun, tidak semestinya pula mereka miskin, jika dalam kaya itu ada  keredhaan Allah. Dan tidak semestinya mereka susah kalau dalam senang  dan lapang itu terdapat kecintaanNYA. Islam adalah cara hidup mereka dan  kebahagiaan mereka. Islam dijadikan pegangan bukan kerana mahukan  kebahagiaan, sebagai  kebebasan, untuk lari dari masalah. Kerana orang  yang ikut Islam kerana hendakkan bahagia, bila gagal menemui ketenangan  dan kebahagiaan setelah Islam diamalkan, tak mustahil mereka akan  berpaling kepada cara hidup yang lain.Mereka yang bahagia dengan Islam adalah mereka yang mengatur seluruh  aspek kehidupan secara Islam kerana merasakan dirinya adalah hamba yang  perlu patuh pada PENCIPTANYA dan Islam itu tidak sekali-kali dijadikan  sebagai alat untuk mendapatkan keindahan dan kebahagiaan sementara.  Indahnya Islam bagi mereka kerana ia merupakan syariat Allah yang sangat  syumul dan praktikal.
Bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah, ada antara mereka yang diuji  dengan kehilangan orang yang tersayang dan kehilangan kebahagiaan dalam  keluarga. Tetapi, mereka masih dapat merasa tenang kerana merasakan  segala yang datang itu, hakikatnya adalah dari Allah jua. Sebagai hamba,  tidak selayaknya dipersoalkan ketetapan Allah yang tentunya mempunyai  maksud di sebaliknya.
Seperti Siti Asiah isteri Firaun, rela diseksa oleh suaminya lantaran  mempertahankan iman yang berharga. Begitu pula Nasibah yang  bersungguh-sungguh melepaskan suami dan anak-anaknya yang masih muda ke  medan perang, dan Ummu Habibah, isteri baginda Rasulullah yang sanggup  berpisah dengan bekas suaminya yang kembali kepada kekufuran, kerana  mahu mempertahankan iman.
Kerana cinta dan redha Allah itu adalah segala-galanya, hingga berkata  Rabiatul Adawiyah; "...Jika di dalam Neraka itu ada redha-MU,  campakkanlah aku ke dalamnya."
Ketenangan akan datang dalam diri bilamana dapat dirasakan, segala yang datang itu hakikatnya dari Allah jua.Wallahualam..


1 ulasan:
sejuk hati baca blog nie :)
Catat Ulasan